Posted by : Mrunknown Friday, April 15, 2016


Latihan industri adalah merupakan satu komponen utama dalam ko-kurikulum pembelajaran di Politeknik. Pelajar disyaratkan lulus latihan industri sebelum ini diperakui untuk penganugerahan diploma dimana-mana pusat pengajian. Pelajar akan ditempatkan di jabatan - jabatan kerajaan atau syarikat - syarikat swasta selama 20 minggu bagi mendedahkan mereka kepada suasana pekerjaan yang sebenar serta berbeza dari suasana di pusat pengajian. Pelajar akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan masalah yang belum pernah di tempuhi.  Oleh itu, antara tujuan utama latihan industri ini diadakan ialah untuk mendedahkan para pelajar kepada alam pekerjaan yang sebenar apabila para pelajar tamat belajar di Politeknik nanti.

Para pelajar juga berpeluang untuk menggunakan segala ilmu pengetahuan atau teori yang berkaitan dengan bidang yang diambil ketika berada di Politeknik semasa menjalankan latihan industri dan memberi peluang kepada para pelajar untuk menggunakan idea sendiri yang kreatif untuk kebaikan firma dan secara tidak langsung untuk kebaikan diri sendiri juga. Dengan itu, pengalaman yang telah ada ini, mungkin dapat membantu para pelajar untuk pembelajaran pada semester berikutnya dan alam pekerjaan yang sebenar. Para pelajar juga dapat didedahkan kepada cara-cara untuk berkomunikasi dengan baik, meluaskan pergaulan sesama rakan di tempat kerja dan orang sekeliling, memupuk semangat kerja berpasukan yang tinggi dan hubungan baik dengan pekerja industri di mana ini sekali gus dapat menimbulkan rasa tanggungjawab terhadap sesuatu tugasan serta keseimbangan dari pelbagai aspek.


Di samping itu, dengan mengikuti latihan industri, pelajar dapat membaiki kelemahan diri sendiri untuk lebih maju dan berfikiran rasional dalam menangani sebarang masalah. Semasa menjalankan latihan industri, para pelajar dapat menilai kebolehan mereka terhadap tugasan yang diberi oleh majikan. Pelajar dengan sendirinya dapat menanamkan semangat produktiviti terhadap cabaran serta rintangan yang dihadapi.
             
Semoga dengan adanya latihan industri ini mampu untuk meningkatkan pengetahuan para pelajar bagi membolehkan mereka memberi sumbangan yang lebih berkesan ke arah pembangunan Malaysia di masa hadapan dan juga mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan mereka.

Kesimpulannya, objektif dalam menjalani latihan industri ini adalah untuk: 
  • Mendedahkan pelajar kepada alam pekerjaan yang sebenar.
  • Menanamkan semangat kerja berpasukan dan perhubungan yang baik sesama pekerja.
  • Membolehkan pelajar melihat kaitan antara teori yang dipelajari dengan kerja-kerja praktikal.
  • Mengamalkan dan mematuhi peraturan-peraturan keselamatan semasa latihan industri.
  • Meningkatkan sikap jujur , amanah , berdedikasi dan bertanggungjawab terhadap tugasan yang diterima.
  • Membentuk dan mengukuhkan keyakinan diri dalam melaksanakan tugasan. 
  • Menimbulkan kesedaran serta meningkatkan minat pelajar terhadap bidang yang dipilih.
  • Dapat menilai kebolehan diri sendiri untuk persediaan menghadapi alam pekerjaan selepas tamat pengajian.

    Leave a Reply

    Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

    - Copyright © Laporan Akhir Latihan Industri Diploma in Programming - Skyblue - Powered by Blogger -Own By Badrul Afif Imran -